Sunday, March 7, 2010

CEUPACS @ Melayu

Saya sudah lama terpanggil untuk menulis berkenaan Ceupacs yang merupakan Persatuan yang memperjuangkan kebajikan pekerja-pekerja sektor awam.

Cuba kita lihat secara positif tanpa ada sebarang emosi, sentimen atau jauh sekali perasaan marah membuta tuli dengan fakta-fakta yang cuba saya nyatakan di sini. Trend perjuangan Ceupacs sepanjang penubuhannya adalah agak sama secara keseluruhannya iaitu memperjuangkan kemanisan untuk hidup mewah,selesa dan setara bagi pekerja-pekerja sektor awam dengan sektor-sektor lain atau bangsa-bangsa lain tanpa menekankan atau melupakan kepada nilai-nilai kerajinan, usaha, keikhlasan, ketekunan, integriti, ketelusan, tidak mudah melenting apabila melakukan kesalahan atau penganiayaan kepada rakyat, imbuhan diberi berdasarkan kepada pencapaian, kecepatan menyelesaikan tugas,berlapang dada dan ikhtiar.

Tiada langsung CEUPACS cuba menerapkan nilai-nilai murni di atas. Saya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa saya yang amat sangat dengan sikap orang-orang Melayu apabila berpersatuan. Apa yang CEUPACS suarakan umpama kita terlalu teringin merasai keuntungan besar sesebuah perniagaan tetapi kita langsung tidak mahu melihat kepada kesusahan tenaga dan ikhtiar dalam sesebuah perniagaan sehingga sesebuah syarikat itu mencapai keuntungan seperti itu.

Tapi itulah sifat bangsa saya. Kedegilan orang-orang Melayu untuk berubah telah menyebabkan sampai ke hari ini orang Melayu telah diperkotak-katikkan dengan begitu hina oleh bangsa-bangsa lain.

Kenyataan-kenyataan kebelakangan ini yang dikeluarkan oleh CEUPACS boleh menjerumuskan bangsa Melayu kepada kehancuran kerana tiada langsung program yang cuba diterapkan oleh CEUPACS berkenaan nilai-nilai yang saya nyatakan di atas.

Cuba kita renung permintaan-permintaan dan desakan-desakan ini yang hanya memenuhi tembolok nafsu serakah sekumpulan sangat kecil golongan yang berjumlah sejuta orang berbanding jumlah rakyat Malaysia keseluruhannya: persoalan gender dalam sektor awam, buat kerja sampingan jika kerja lebih masa tidak dibayar, tuntut kerja lebih masa dibayar tunai, ubah nama PA kepada Setiausaha Tadbir, sistem ganjaran dapat tingkatkan produktiviti, desakan bonus saban tahun.

Pernahkan Ceupacs cuba suarakan dan gesa ahli-ahlinya supaya buat kerja lebih masa jika tidak buat kerja sepanjang waktu pejabat, tuntut ahli buat kerja dengan seberapa segera apabila berhubung dengan orang ramai atau sektor perniaagaan di mana masa adalah sangat berharga bagi sektor swasta dan perniagaan, seru ahli tingkatkan produktiviti dengan serta merta dan konsisten sepanjang masa apabila mendapat kenaikan gaji atau pemberian bonus, desak ahli-ahli yang tidak mempunyai produktiviti supaya melepaskan jawatan masing-masing seberapa segera kerana jawatan sektor awam adalah dibayar gaji dan bukannya sukarela, didik ahli supaya jangan merungut apabila kerja banyak(walaupun yang dikatakan kerja banyak itu tidakpun sampai 30% daripada beban kerja sektor swasta dan perniagaan)kerana ahli-ahli yang memohon kerja pada kerajaan dan bukannya kerajaan menawarkan kerja kepada ahli-ahli, didik ahli-ahli supaya rajin bekerja kerana tidak bekerja ketika waktu kerja adalah sama haramnya macam kita mengamalkan riba, mengambil rasuah, tidak berpuasa, memakan makanan yang diharamkan dan pelbagai lagi dosa-dosa disisi Allah.

Saya berasa sangat lucu dengan kenyataan CEUPACS bahawa dengan Sistem Ganjaran maka kualiti dan produktiviti kerja di kalangan penjawat awam dan pentadbiran kerajaan akan meningkat. CEUPACS cuba bandingkan dengan negara luar tetapi masalahnya ahli-ahlinya adalah bangsa Melayu yang memang degil, malas dan susah untuk berubah kepada kebaikan. Cuba kita lihat bagaimana bangsa Cina di negara China. Rakyatnya mengubah landskap ekonomi mereka tidak sampai 30 tahun daripada dasar tertutup kepada dasar terbuka menjadi sebuah negara yang jauh lebih maju daripada Malaysia. Adakah kerana rakyat negara China semulajadi pandai dan pintar? Tidak, jawapannya adalah kerana rakyatnya yang bekerja di sektor awam, swasta dan pernigaan adalah sangat rajin, gigih dan berusaha siang dan malam untuk membangun negara mereka. Adakah kita seperti mereka? Kita hanya tahu marah apabila orang menegur kelemahan kita dan selepas kita marah, kita tetap tidak berubah. CEUPACS sepatutnya memberi alternatif kepada kerajaan, di samping cadangan yang berbentuk insentif, CEUPACS perlu desak kerajaan untuk membentuk satu badan disiplin yang aktif serta tegas kepada mana-mana ahli yang tiada produktiviti dan mencadangkan mekanisme yang lebih mudah untuk memecat penjawat-penjawat awam yang tidak menunjukkan apa-apa pencapaian dalam kualiti bekerja.

Kelemahan dan kesongsangan ini bukan sahaja berlaku dalam sektor awam tetapi berlaku dalam sektor-sektor pekerjaan yang lain di mana kerajaan atau bangsa Melayu mempunyai kuasa pentadbiran. Kita jangan marah apabila MCA mencadangkan baru-baru ini untuk pengambilan bukan bumiputera dalam perkhidmatan awam kerana prestasi dan produktiviti kerja bangsa Melayu memang sangat kronik dan mengecewakan.

Masa bangsa Melayu sudah terlalu suntuk, berubahlah dengan segera. Janganlah kita menjadi bangsa yang bebal dan menolak segala teguran-teguran baik. Begitulah sikap bangsa kita, apabila ada sesuatu yang manis maka kita akan menoleh ke negara luar, tetapi kita langsung tidak belajar dan cuba mengambil contoh tentang sikap bangsa-bangsa lain di luar sana yang sangat gigih, rajin dan bekerja dengan ikhlas untuk membangunkan negara mereka masing-masing.

No comments:

Post a Comment